MISI EHSAN YSB DITERUSKAN LAGI SEMPENA PASCA BENCANA BANJIR KELANTAN 2014-2015
   19-23hb Januari 2015 – YSB sekali lagi meneruskan baktinya atas perkenan YTM Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah - Tunku Panglima Besar Kedah merangkap Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah serta Pengerusi YSB sendiri.


   Misi kali ini dengan kerjasama Akademi Binaan Malaysia Wilayah Utara, Environment Idaman Sdn Bhd, Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Kedah, Universiti Utara Malaysia, Rejimen 513 Askar Wataniah serta Pakatan Muslimah Surau Taman Sejati Sg. Petani telah berjaya mengumpul seramai 34 orang sukarelawan yang menjayakan khidmat bakti kemanusiaan di sekitar Pekan Guchil dan Jajahan Kuala Kerai, Kelantan.


   Majlis pelepasan konvoi disempurnakan oleh Dato’ Haji Nasir Mustafa – Ahli Lembaga Amanah YSB pada 19 Januari jam 12.30 tengahari di Dewan Seminar YSB. Turut hadir Dato’ Dr Kamaruzaman Ali – Pengerusi JK Pembangunan Remaja YSB, Misbah Dato’ Haji Abdul Hamid – Pengurus Besar YSB, Mohd Nazri Hj Zakaria – Ketua Pegawai Operasi ABM Wilayah Utara, Ir Haji Sharifudin Che Omar – Pengarah CIDB Kedah, Mohd Sofi Abd Halim – wakil E-Idaman, Ahmad Zaki Haji Osman - wakil MADA, serta wakil-wakil penderma.
   Jam 1.15 petang, konvoi disertai 34 Sukarelawan, 3 buah lori dan 6 buah pacuan empat roda mula bergerak dari YSB melalui Lebuhraya Utara Selatan – Pekan Kuala Ketil - Lebuhraya Timur-Barat - Jeli dan selamat tiba di Masjid Jauhar, Pekan Guchil dalam Jajahan Kuala Kerai lebih kurang jam 12.00 tengah malam setelah mengharungi perjalanan panjang hampir 12 jam. Tim YSB disambut oleh Tuan Haji Azhar wakil Pusat Khidmat DUN Mengkebang selaku penyelaras bagi penempatan tim YSB di situ. Selepas sessi pengenalan dan taklimat ringkas, petugas merehatkan diri sementara menanti tugasan utama keesokkan harinya.
   Tim YSB telah dibenarkan oleh pihak Jawatankuasa Masjid Jauhar dan ADUN Mengkebang untuk berkampong di masjid tersebut serta dijadikan markas pengurusan sepanjang 5 hari 4 malam beroperasi.

   Misi dinamakan ‘Ops Bantuan Kasih Dobi YSB’ di mana 7 buah mesin basuh turut dibawa hasil sumbangan pelbagai pihak antaranya Pakatan Muslimah Surau Taman Sejati (4 buah), Dato’ Dr Kamaruzaman Ali (1 buah) dan Syarikat A&A (2 buah). Mesin basuh ini telah distatikkan di beberapa lokasi setiap hari bermula jam 10.00pagi – 6.00petang antaranya pada 20hb Januari di Surau Taman Perisai Wira, 21hb Januari di Surau Kg. Baru Sungai Durian dan 22hb Januari di Surau Taman Berkat Jaya kesemuanya di sekitar Jajahan Kuala Kerai. Sambutan amatlah memberangsangkan, sepanjang 3 hari beroperasi lebih 60 keluarga telah menggunapakai mesin dobi layan diri percuma ini dan mereka turut memuji usaha YSB yang unik ini serta amat berguna dikala memerlukan. Sukarelawan juga turut gembira atas sambutan yang menggalakkan.
   Selain khidmat dobi percuma, sukarelawan turut mengedarkan hasil sumbangan pelbagai pihak antaranya 5000 biji telur masin sumbangan syarikat Lai Hin Trading Sdn Bhd, 300 buah bantal, 30 unit sofa sumbangan Unigrow Industries Sdn Bhd serta 50 kotak mineral water sumbangan MADA. Edaran barangan telah dibuat di sekitar Kampong Guchil 1 hingga 7 serta di lokasi sekitar khidmat dobi dijalankan. Bantuan turut dihulurkan kepada semua kaum termasuklah kepada masyarakat Tionghua dan Buddha yang menjadi mangsa banjir. Ubatan asas seperti ubat gatal, demam, cirit-birit dan cecair iodine turut diagihkan kepada yang memerlukan.
   Seramai 12 pelatih ABM Wilayah Utara turut sama membaikpulih sistem pendawaian elektrik dan 6 unit penghawa dingin Masjid Jauhar tempat dimana kami berkampong yang turut rosak ditenggelami banjir sehingga ke aras dua atau hampir 10 meter. Operasi baikpulih ini dipersudahkankan oleh tim ABM Wilayah Utara selepas tim Ngo dari Negeri Sembilan memulakannya 5 hari terdahulu sebelum tim YSB tiba.
   Khidmat masyarakat di Surau Taman Desa Melati pula meliputi kerja-kerja pembersihan karpet surau yang telah ditenggelami banjir sehingga ke paras bumbung atau hampir 4 meter. Khidmat pembersihan ini dilaksanakan bersama Sukarelawan YSB, E-Idaman manakala Sukarelawan ABM pula membaikpulih dan memasang semula sistem audio surau berkenaan yang turut musnah ditenggelami air.
   Walaupun sedih melihatkan kemusnahan akibat dibadai banjir, semua Sukarelawan tetap bersyukur kerana berpeluang berbakti kepada insan-insan dikala memerlukan. Ada yang turut menitiskan air mata melihatkan cabaran yang terpaksa ditanggung oleh mangsa banjir apatah lagi dalam keadaan yang serba kekurangan.
   Setinggi penghargaan kepada ABM Wilayah Utara, Environment Idaman, UUM, JPS, Pakatan Muslimah Surau Tmn Sejati, Rejimen 513AW, Syarikat Lai Hin Trading, Unigrow Industries, MADA, SAHOCA, Al-Faiz Industries, DCL Travel & Tours, Kedah Medical Centre, Pusat Kesihatan Pokok Sena, Hospital Kuala Nerang, Sedim Rainforest Resort, A&A Sdn Bhd, Restoran Nasi Kandar Najmuddin, Pusat Khidmat DUN Mengkebang, AJK Masjid Jauhar Guchil, Para sukarelawan serta semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan misi kali ini dan sebelumnya bersama YSB. Moga Allah berkati