Click untuk besarkan

 

 

      

Click untuk besarkan

 

      

Click untuk besarkan

 

      

Click untuk besarkan

 

      

Click untuk besarkan

 

KEM PENDIDIKAN ALAM SEKITAR YSB 2016 DI PUNCAK KEDAH DISERTAI PESERTA JEPUN

gambar bersamaClick untuk gambar besar

KLIK untuk  Gallery KEM PENDIDIKAN ALAM SEKITAR YSB 2016


27-30 Julai 2016 - Kem Pendidikan Alam Sekitar YSB 2016 telah diadakan di Taman Rekreasi Sungai Teroi, Hutan Simpan Gunung Jerai, Kedah Darul Aman. Disertai 42 orang peserta berumur antara 16-20 tahun terdiri daripada 32 orang berbangsa Melayu, 5 Cina, 2 India, 2 dari negara Jepun serta 1 dari Filipina disatukan selama 4hari 3malam. Selain peserta dari sekolah menengah aliran kebangsaan, 12 peserta juga dipilih khas daripada pelajar pondok aliran agama.

2 peserta wanita dari negara Jepun – Mio Ushijima 16 tahun dari Wilayah Iwate dan Maoko Hayakawa 17 tahun dari Fukuoka terpilih melalui program pertukaran antarabudaya antarabangsa ‘AFS Intercultural Programme’ yang di seliakan oleh AFS Cawangan Kedah.

Hasil kerjasama jitu pelbagai jabatan dan YSB, kem ini berjaya mencapai objektifnya merangkumi pelbagai aktiviti bermanafaat seperti ‘Ice breaking’, Pecahan dan pengukuhan kumpulan, Eksplorasi hutan simpan, Ceramah kesedaran alam sekitar dan kepentingan sungai, Kempen penanaman pokok, Ilmu perkhemahan, Masakan hutan, Mengenal flora dan fauna, ‘Jungle night walk’, Kajian kualiti dan ekosistem sungai, Lawatan ke Muzium Perhutanan dan pelbagai lagi yang bermatlamat khusus menyemai sikap bagi mencintai dan memulihara alam sekitar.

Setiap aktiviti dilaksanakan dalam 3 kumpulan peserta yang menitikberatkan kerjasama berkumpulan, kreativiti berpasukan, pembentukan sahsiah dan memupuk semangat mengenali, menghargai serta memulihara khazanah hutan dan alam sekitar. Barisan urus setia dibawah kelolaan Jabatan Pendidikan serta Sukarelawan YSB sendiri menjadi pemangkin kejayaan kem.

Pengalaman berkhemah di hutan Gunung Jerai, merasai cuaca sejuk tanah tinggi, kembara malam, masakan hutan, mengenali flora hutan dan kegunaannya dalam kehidupan, memahami sifat biodiversiti, menilai kualiti air sungai, menimba ilmu kepentingan alam sekitar kepada alam sejagat serta kaedah mapan dalam merancang kehidupan yang lestari.

Dihari kedua kem, majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Dato’ Dr Kamaruzaman bin Ali – Pengerusi Program Pembangunan Remaja, Projek Titian Ehsan YSB yang turut sama dihadiri oleh wakil-wakil jabatan yang terlibat. Ianya telah meninggalkan impak yang berharga apabila sebanyak 100 pokok hutan telah ditanam di sekitar Taman Rekreasi Hutan Simpan Sungai Teroi, Gunung Jerai oleh tetamu yang hadir serta semua peserta kem. Pastinya semua yang terlibat akan terdetik untuk kembali lagi di tempat yang bermakna ini di masa-masa yang terluang bagi melihat perkembangan pokok-pokok yang ditanam khusus bersempena Kem Pendidikan Alam Sekitar YSB 2016 ini. Kenangan abadi, seumur hidup. InSyaAllah...

Melihatkan keakraban yang terjalin di kalangan peserta amatlah membanggakan dimana kesemuanya melahirkan rasa teruja dan gembira dapat mengenali rakan-rakan baru bukan sahaja dari pelbagai latar belakang, umur, agama, bangsa mahupun budaya malahan dari berlainan negara jua. Aura keakraban ini dapat dirasai apabila tiba di saat-saat akhir kem, semua peserta berasa terharu untuk berpisah setelah setiap saat mereka bersama mengharungi kem 4hari 3malam tersebut. Moga ilmu dan persahabatan yang terjalin ini akan berterusan dalam melangkah kehidupan yang lestari serta rasa cinta yang mendalam terhadap alam sekitar hendaknya.

Jutaan terima kasih atas sokongan padu Jabatan Perhutanan, Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Sumber Air Negeri, Jabatan Pendidikan, Jabatan Belia dan Sukan, Jabatan Perhilitan, Jabatan Pengairan dan Saliran, Universiti Utara Malaysia, PDRM Yan, Pejabat Kesihatan Daerah Yan, Jabatan Pertahanan Awam Daerah Yan, YSB Support Team, Syarikat Bas Pancaran Matahari Sdn Bhd, Kem Komandan, Para Jurulatih, Urusetia, Sukarelawan malah peserta sendiri yang memberikan impak atas kejayaan gemilang ini.

“HIJAUKAN BUMI, SAYANGI ALAM SEKITAR DAN LESTARIKAN KEHIDUPAN…”
 

KARNIVAL ORANG MUDA YSB 2015, PALING BERJAYA SEJAK DIANJURKAN

 

11-12hb September 2015 – Karnival Orang Muda YSB 2015 telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya di Perkarangan Taman Jubli Emas, Jalan Suka Menanti, Alor Setar, Kedah Darul Aman bersempena Sambutan Hari Kemerdekaan ke-58 dan Hari Malaysia ke-52. Berjaya menarik seramai 20,000 pengunjung dan peserta keseluruhannya dan dianggap paling berjaya sejak dianjurkan bermula tahun 2013 lalu.

Karnival kali ini telah menggabungkan hamper 30 aktiviti keseluruhannya meliputi 4 segmen berbeza iaitu segmen sukan dan rekreasi, segmen pameran, kempen kesedaran dan kesihatan, segmen bazar makanan dan usahawan muda serta segmen persembahan pentas dan patriotisme.

Segmen sukan melibatkan acara pertandingan skateboard, bmx stunt, bmx flatland, inline skating, wall climbing, futsal, bola jaring, lompat tali berirama, aerobathon, demo gimnastik , kayuhan untuk kesihatan, larian untuk keamanan, pertunjukan ’stunt kite’ serta pelbagai lagi acara riadah dan rekreasi.

Bagi segmen sukan lasak ianya telah Berjaya menarik penyertaan dari luar Negara antaranya dari Thailand, Singapore, Indonesia, Filipina selain dari seluruh Malaysia sendiri keseluruhannya mencecah 180 peserta.

Segmen pameran, kempen kesedaran dan kesihatan pula meliputi aktiviti kempen derma darah, pameran penjagaan kesihatan, pencegahan HIV/AIDS, kempen keselamatan jalanraya, pencegahan jenayah, penyalahgunaan dadah, pameran agensi kerajaan dan institusi kemahiran serta kempen kitar semula yang disertai 18 agensi dan pempamer.

Bagi segmen bazar makanan dan usahawan muda turut diadakan ialah acarabazar jualan makanan, usahawan muda serta bazar jualan industri kecil dan sederhana melibatkan 16 usahawan muda.

Manakala bagi segmen persembahan pentas dan patriotisme antara acara yang disajikan termasuklah pertandingan deklamasi puisi, lagu kemerdekaan, persembahan pentas dan artis, young buskers, badut dan dikir barat orang muda.

Artis terkenal yang dijemput bagi menjayakan persembahan sepanjang 2 hari tersebut ialah Ewal AF dan Daiyan Trisya selebriti Astro serta termasuk juga penghibur muda tempatan.

Karnival ini turut Berjaya melibatkan dua ahli Exco Kerajaan Negeri Kedah – YB En.Aminuddin Omar dan YB Dato’ Dr Leong Yeong Kong sewaktu majlis perasmian KOM dan pelepasan acara kayuhan serta larian pada awal pagi 11hb September 2015. Acara ini berjaya menarik seramai 3,700 orang pelari dan 300 peserta kayuhan yang berlangsung dengan penuh berjaya yang melibatkan pelbagai bangsa dan umur.

Majlis penyampaian hadiah dan penutupan karnival telah disempurnakan oleh Yang Teramat Mulia Tunku Panglima Besar Kedah (AHLI JEMAAH PEMANGKU SULTAN KEDAH) merangkap Pengerusi YSB sendiri pada 12hb September 2015 jam 5.00 petang dalam acara yang penuh bermakna dan gemilangnya.

Turut hadir dimajlis penutup ialah Yang Berhormat Puan Kama Noriah bt Ibrahim – ADUN Pedu, Yang Berbahagia Dato’ Haji Mat Noh Dahaya – Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman, Yang Setia Panglima Markas Briged Ke-6 Infantri Malaysia, Ahli-ahli Lembaga Amanah YSB, Ahli-ahli Jawatankuasa Induk KOM serta ketua-ketua jabatan terlibat.

Keadaan cuaca yang cerah dan selesa sepanjang karnival berlangsung telah memberi peluang kepada pengunjung hadir serta berjaya mencatatkan seramai 20,000 orang. Rata-rata pengunjung dan peserta anak-anak muda yang ditemubual secara rambang menyatakan bahawa KOM kali ini Berjaya menampilkan kelainan dan lebih sukses berbanding tahun sebelumnya.

Karnival yang dianjurkan buat kali yang ke-3 ini telah mendapat sokongan dan kerjasama padu daripada Kerajaan Negeri Kedah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah, agensi kerajaan, swasta, ngo serta individu termasuklah beberapa syarikat korporat antaranya Al-Faiz Holdings Sdn Bhd selaku penaja utama.

Tahniah dan jutaan terimakasih kepada semua yang terlibat samada secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan KOM YSB 2015.

Jumpa lagi di KOM YSB 2016.“MALAYSIA… SEHATI, SEJIWA.”“DISCOVER KEDAH 2016”

 

 

         

Subcategories